LABUAN, 13 FEBRUARI 2023 – Sebuah program Hari terbuka Kolej Matrikulasi Labuan telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan Kaunseling selama 4 hari bermula pada 10 – 13 Februari 2023.
Program ini telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan Kaunseling dengan bantuan ahli PRD dan dibawah kendalian Puan Zarina Binti Sana selaku Pegawai Kaunselor Kolej Matrikulasi Labuan. Program ini berlangsung selama empat hari dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik. Terdapat juga foodtruck serta pelbagai gerai makanan di Dataran Kawad yang bermula dari 8 pagi hingga 10 malam.
Pada 10 Februari 2023, hari pertama untuk Hari Terbuka Kolej Matrikulasi Labuan dimulakan dengan Bengkel Psikologi First Aid bagi para pensyarah untuk memeriksa tahap kesihatan mereka. Jabatan Kesihatan Negeri WP Labuan telah dijemput ke kolej untuk memberikan taklimat mengenai kesihatan psikologi. Semua pensyarah yang hadir pada masa itu juga turut diberikan sebotol air mineral serta roti.
Pada 11 Februari 2023, terdapat Taklimat Dan Pameran Pinjaman Biasiswa Pelajaran daripada MARA, PTPTN, Swinburne, Zara Zakiah dan Yayasan Sabah untuk para pelajar. Tujuan taklimat ini diberikan adalah agar para pelajar mengetahui cara untuk mendapat duit ataupun biasiswa daripada pihak-pihak yang tertentu. Untuk setiap sesi taklimat ini, kelas-kelas telah dibahagikan untuk hadir ke sesi taklimat yang telah ditetapkan. Pelajar yang berasal daripada Sarawak akan mendengar taklimat daripada pihak Swinburne di Dewan Kuliah 6 manakala pelajar yang berasal daripada Sabah akan mendengar taklimat daripada Yayasan Sabah di Dewan Mutiara. Terdapat juga pameran daripada pelajar dan pensyarah pada masa itu.
Pada 11 Februari 2023 itu juga, diadakan Kempen Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Pusat Sumber Kolej Matrikulasi Labuan dimana para pelajar dapat memeriksa tahap kesihatan mereka dengan melakukan ujian segak serta pemeriksaan darah.Pada sebelah malam pula, merupakan malam Wayang Pacak di Dewan Mutiara. Wayang yang dipaparkan adalah “Make Me Shudder 2” dan semua pelajar dijemput untuk datang ke dewan dengan membawa makanan masing-masing.
Pada 12 Februari 2023, terdapat taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri WP Labuan yang membincangkan mengenai kesihatan dari segi makanan serta pameran-pameran kesihatan yang lain seperti pameran gigi, kanser dan banyak lagi. Selepas itu, terdapat juga sesi Meet And Greet bersama Kaunselor KML iaitu Puan Zarina Binti Sana yang akan membincangkan mengenai ujian kerjaya serta ujian minda sihat kepada para pelajar. Pada masa yang sama, sesi temuduga PRD juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli PRD. Mereka yang ingin menjadi ahli PRD akan menjawab borang Ujian Kerjaya terlebih dahulu sebelum ditapis. Pada petang itu pula, terdapat aktiviti Sukan Antara Blok yang turut dibantu oleh Kelab Sekretariat Sukan dibawah kendalian Puan Fazilah Binti Mat Piah . Sukan ini melibatkan banyak permainan yang menarik dan setiap blok akan menghantar wakil sebanyak 3 kumpulan dan akan bertanding dengan blok yang lain. Labuan FM juga turut dijemput untuk memeriahkan lagi aktiviti Sukan Antara Blok pada hari itu.
Pada 13 Februari 2023, ahli PRD telah menganjurkan Mini Funfair PRD dan Karaoke bertempatkan di depan pusat sumber kolej dan ia juga merupakan hari terakhir untuk Hari Terbuka Kolej Matrikulasi Labuan. Terdapat banyak permainan yang menarik dalam slot ini seperti Charades, What’s In The Box dan Ddakji serta Karaoke yang mana terbuka kepada pelajar yang ingin menyanyi. Aktiviti ini mendapat sambutan yang ramai dan memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak pelajar KML yang berbakat dalam nyanyian.
Unit Bimbingan Dan Kaunseling mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang sudi membantu sepanjang program ini berlangsung serta kepada pelajar KML yang sudi hadir ke setiap slot yang dianjurkan.