Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) telah menganjurkan Program Bengkel Kerja Peningkatan Pensyarah Matrikulasi Dalam Bidang Internet Benda (IoT) dan Robotik. Program ini dilaksanakan selama 4 hari bermula 8 Ogos 2023 hingga 11 Ogos 2023, bertempat di Kolej Matrikulasi Perak. Seramai 22 orang pensyarah dari Kolej Matrikulasi Labuan, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Matrikulasi Perak, Kolej Matrikulasi Kedah, dan Kolej Matrikulasi Kelantan turut serta di dalam bengkel ini. Tujuan utama bengkel ini dilaksanakan adalah untuk memberi latihan persediaan kepada pensyarah-pensyarah Matrikulasi yang dilantik sebagai Jurulatih Utama bagi Jurusan Sains Komputer.
Kolej Matrikulasi Labuan berbesar hati menerima amanah dari pihak BMKPM untuk mengambil peranan sebagai penceramah dan fasilitor sepanjang bengkel tersebut berlangsung. Seramai 4 orang pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan dihantar untuk menyertai Bengkel tersebut. Tn. Syed Nassir Bin Syed Ahmad sebagai Penceramah Unmanned Ground Vehicle(UGV), Pn. Intan Nurshafnaz Bt Muhammad Zizan sebagai penceramah Unmanned Aerial Vehicle(Pixhawk Drone), Pn. Sharifah Fatin Zulaikha Binti Syed Zainal Abidin dan Cik Sakinah Binti Mohamad sebagai penceramah Internet of Things(IoT).
Dalam bengkel berdurasi empat hari ini, pensyarah diberi peluang untuk menjalani pelbagai latihan kemahiran melalui sesi interaktif yang dirancang secara khusus untuk pensyarah-pensyarah Matrikulasi. Antara latihan tersebut adalah latihan kemahiran soldering dan elektronik. Pensyarah juga didedahkan dengan kemahiran tinkering kereta mainan terpakai untuk diubahsuai fungsi menjadi kereta yang menggunakan teknologi kawalan secara IoT.
Sewaktu majlis penutupan, Pengarah Kolej Matrikulasi Perak, Encik Azman Bin Mohkhtar mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada semua pensyarah yang telah terlibat dalam program ini. Beliau mengapresiasi komitmen dan semangat yang telah diperlihatkan oleh semua pensyarah sepanjang berlangsungnya bengkel.