Malam Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina KML 2026 (Memeriahkan Keharmonian Budaya)
Malam Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina KML 2026 (Memeriahkan Keharmonian Budaya)
Malam Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina KML 2026 telah berjaya dianjurkan pada 31 Januari 2026 dengan penuh meriah dan harmoni. Program ini berlangsung dari pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam. Para pelajar mula hadir seawal jam 7.30 malam bagi persediaan awal sebelum ketibaan tetamu kehormat (VIP) pada jam 8.00 malam.
Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 disambut dalam Tahun Kuda, yang melambangkan kekuatan, ketekunan, keberanian serta semangat kebebasan. Simbolik Tahun Kuda ini mencerminkan sikap rajin berusaha dan sentiasa bergerak ke hadapan, sejajar dengan aspirasi pelajar dalam mengejar kecemerlangan akademik serta pembentukan sahsiah diri.
Majlis bermula secara rasmi pada pukul 8.00 malam dengan ketibaan tetamu kehormat (VIP). Program diteruskan dengan persembahan tarian singa yang penuh bertenaga sebagai pembuka tirai, melambangkan usaha menghalau unsur negatif serta menyambut tuah dan keberkatan pada tahun baharu. Seterusnya, ucapan oleh Tuan Pengarah telah disampaikan yang menekankan kepentingan perpaduan, keharmonian antara kaum serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan warga kolej.
Selepas itu, aktiviti yee sang diadakan sebagai simbol pembukaan rasmi majlis yang membawa maksud harapan terhadap kemakmuran, kesejahteraan dan kejayaan sepanjang tahun baharu. Program diteruskan dengan pelbagai persembahan oleh warga kolej yang menampilkan bakat serta kreativiti pelajar dalam memartabatkan warisan budaya Cina.
Turut mencuri tumpuan ialah persembahan tarian klasik Cina daripada pasukan Aerodance, sebuah pasukan yang pernah meraih pingat gangsa sempena Karnival Kokurikulum Matrikulasi, yang mempersembahkan tarian kipas dengan penuh tenaga dan koordinasi.
Berbeza dengan penganjuran sebelum ini, program tahun ini turut melibatkan persembahan silat Melayu sebagai simbol keharmonian budaya. Persembahan tersebut menampilkan gerak langkah yang kemas, berdisiplin dan penuh berunsur seni, sekali gus membawa mesej keberanian, adab, hormat-menghormati dan jati diri yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah pelajar. Persembahan ini bukan sahaja menarik perhatian hadirin, malah berjaya menonjolkan semangat perpaduan antara budaya melalui penghargaan terhadap warisan bangsa lain.
Program ini turut diserikan dengan persembahan live band yang menyampaikan lagu-lagu pelbagai genre dan bahasa, sekali gus menyemarakkan suasana serta menarik penglibatan aktif hadirin. Persembahan ini berjaya mewujudkan suasana ceria dan santai, di samping menjadi medium penyatuan melalui muzik yang merentasi perbezaan budaya.
Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, malah turut berperanan sebagai medium memupuk perpaduan, toleransi dan keharmonian dalam kalangan warga kolej. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan antara kaum serta membentuk pelajar yang berfikiran terbuka dan berbudaya.