CHEMISTRY FOR NEUBEANS 2025 : MEMUPUK MINAT, MENYEMAI INSPIRASI

Acara yang berlangsung selama 2 jam ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang berpusatkan pelajar. Antaranya ialah pameran interaktif melalui empat booth utama yang mengetengahkan konsep-konsep asas Kimia, inovasi pendidikan, serta demonstrasi eksperimen mini. Booth “Innovation for NeuBeans” menjadi tumpuan dengan mempamerkan hasil inovasi pensyarah Unit Kimia yang telah meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sementara itu, booth lain memperkenalkan pelajar kepada dunia Kimia melalui aktiviti hands-on dan pameran yang bersifat edukatif tetapi menyeronokkan.

Program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pensyarah dan rakan-rakan baharu dalam suasana santai namun bermanfaat. Sepanjang program, wajah-wajah pelajar jelas memancarkan rasa ingin tahu dan semangat untuk meneroka lebih jauh bidang Kimia. Salah seorang peserta menyatakan, “Program ini membuka mata saya tentang betapa luasnya dunia Kimia dan membuat saya lebih yakin untuk belajar subjek ini.”
Secara keseluruhannya, Chemistry for NeuBeans berjaya menjadi platform awal untuk memperkenalkan pelajar kepada dunia Kimia secara kreatif dan interaktif. Unit Kimia berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada kecintaan pelajar terhadap sains, sekali gus melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan inovatif dalam bidang akademik dan profesional.