Skip to main content

Berita

  pentadbir

BioChem Fayre 2026


Program BioChem Fayre 2026

BACKDROP BIOCHEM FAYRE

Program BioChem Fayre 2026 telah berjaya dilaksanakan pada 24 Januari 2026 (Sabtu), bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari bertempat di Makmal Kimia & Biologi serta Dewan Kuliah. Program ini dianjurkan oleh Unit Sains (Biologi & Kimia), Kolej Matrikulasi Labuan bagi sesi akademik 2025/2026.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 1,439 orang pelajar jurusan sains Program Matrikulasi Sistem Dua Semester (SDS) dan 687 orang pelajar jurusan sains Program Matrikulasi Sistem Empat Semester (SES). Penganjuran BioChem Fayre 2026 bertujuan untuk meningkatkan tahap motivasi dan minat pelajar terhadap subjek Biologi dan Kimia melalui strategi pembelajaran yang lebih pelbagai dan berkesan. Selain itu, program ini turut menggalakkan budaya pembelajaran secara berkumpulan serta perbincangan ilmiah dalam kalangan pelajar.

AKTIVITI BIOCHEM FAYRE 1
Antara objektif utama program adalah untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif di luar bilik tutorial, di samping memperkukuh jati diri serta keyakinan pelajar dalam menghadapi cabaran pendidikan di peringkat yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, program ini juga menyokong usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam kedua-dua subjek teras tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, antaranya Pameran Biologi dan Pameran Kimia yang mempamerkan hasil pembelajaran serta eksperimen ringkas yang mampu menarik minat pelajar. Selain itu, pertandingan WhizLab turut diadakan bagi menguji kefahaman dan kemahiran aplikasi konsep sains secara kreatif dan kritis. Pertandingan “So You Think You Can Teach” pula memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dalam menyampaikan ilmu secara berkesan dan berkeyakinan.

AKTIVITI BIOCHEM FAYRE 2
Secara keseluruhannya, BioChem Fayre 2026 bukan sahaja menjadi platform pembelajaran alternatif yang menyeronokkan, malah berjaya memupuk semangat kolaboratif, meningkatkan interaksi antara pelajar dan pensyarah, serta menyemarakkan lagi minat terhadap bidang Biologi dan Kimia dalam kalangan warga kolej.